<script async src="//pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js"></script> <ins class="adsbygoogle" style="display:block; text-align:center;" data-ad-layout="in-article" data-ad-format="fluid" data-ad-client="ca-pub-1941815057951554" data-ad-slot="3403928470"></ins> <script> (adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({}); </script>

Jalan Bernama Di Kuala Lumpur Secara Rasmi



KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kini secara rasmi terletak di Jalan Bernama.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini memasang papan tanda 'Jalan Bernama' menggantikan Jalan 1/65A dari Jalan Tun Razak ke Wisma Bernama dan 'Lorong Bernama' menggantikan Jalan 2 / 65A yang terletak bersebelahan.

Penukaran papan tanda nama jalan itu dilakukan oleh kontraktor DBKL pada 12.30 tengah hari tadi dengan disaksikan oleh pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan beberapa eksekutif kanan Bernama.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerima cadangan yang dikemukakan oleh Azman bagi nama Jalan 1/65A ditukarkan kepada Jalan Bernama dan Jalan 2/65A ditukarkan kepada Lorong Bernama.

Wisma Bernama ialah bangunan pertama tertinggi dibina di Jalan 1/65A dan agensi berita itu telah beroperasi dari premis tersebut sejak 1984.

Azman hari ini menyifatkan penamaan Jalan Bernama dan Lorong Bernama sebagai 'hadiah yang tidak ternilai' bagi Bernama dalam usaha membangunkan negara sejajar dengan peranannya sebagai agensi berita rasmi negara.

"Kami (warga Bernama) sangat teruja dengan penukaran nama baharu itu terutama saya sendiri apabila pertama kali melihat papan tanda baharu untuk nama jalan dan lorong itu.

"Kami amat berterima kasih kepada (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) kerana bersetuju dan memasang papan tanda untuk nama baharu jalan itu," kata Azman Ujang pada majlis perasmian penukaran papan tanda Jalan Bernama dan Lorong Bernama, di Wisma Bernama, di sini hari ini.

Azman juga berkata penukaran nama baharu itu dilakukan tepat pada masanya iaitu sehari selepas Bernama menyambut Ulang Tahunnya ke-51. Bernama diitubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 1967 dan mula beroperasi sebagai agensi berita pada 20 Mei, 1968.

Beliau berkata penamaan jalan itu adalah sejajar dengan penjelmaan Malaysia Baharu yang kini diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baru dibentuk.

Ketika ditanya apakah maknanya penamaan jalan itu kepada generasi Bernama pada masa depan, Azman menggesa wartawan muda agensi itu untuk komited sepenuhnya bagi mengekalkan kewibawaan Bernama sebagai agensi berita yang bukan sahaja menjadi sumber maklumat untuk warga tempatan tetapi juga masyarakat antarabangsa.

"Justeru, adalah amat penting untuk mematuhi etika kewartawanan terutama dalam era ini apabila semua orang mula bercakap tentang 'berita palsu'," kata beliau.

-- BERNAMA
Sebelum
Next Post »